Apr 26, 2011

Apa yg telah di beri & apa yg di pinta

Tidak kira sama ada doa itu dalam keadaan terdesak atau semata-mata menunaikan kewajipan, setiap doa pasti Allah beri perhatian. Allah berfirman yang bermaksud: “Berdoalah kepada-Ku nescaya aku (Allah) akan perkenankan.” (Surah Ghafir : 60 )

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Tuhanmu yang Maha Suci lagi Maha Tinggi itu pemalu lagi mulia. Dia malu terhadap hamba-hamba-Nya yang mengangkat tangan berdoa, tiba-tiba tidak diberi oleh-Nya akan permintaan itu.” (Riwayat al-Tirmizi no. 3556 dan Abu Daud no. 1448)

Lihat betapa hebatnya sifat Pemurah dan Pengasih Allah, Dia bukan sahaja memerintahkan kita berdoa, malah Dia mengajar apa yang patut kita doakan dan bagaimanakah caranya kita harus berdoa. Tidak cukup sekadar itu, Allah berjanji untuk mempertimbangkan doa-doa itu. Sebuah syair mengungkapkan hakikat ini dengan begitu indah sekali:
“Allah s.w.t. murka jika engkau tidak memohon kepada-Nya.
Sebaliknya manusia murka apabila kau sering minta kepadanya.”

Berdoa itu satu langkah yang produktif. Bahkan menurut pandangan ulama tasawuf, apabila Allah telah ringankan lidah seseorang hamba-Nya untuk berdoa, itu petanda Allah telah memberi lampu hijau untuk memperkenankan doa itu. Kata Imam Ibn Ataillah: “Tatkala Allah membukakan mulut anda dengan bermohon kepada-Nya maka ketahuilah, sesungguhnya Allah berkehendakkan doa anda diperkenankan.”

Yakinlah bahawa apabila Allah mengilhamkan kepada hati kita untuk berdoa, maka sudah tentu Allah akan memperkenankan doa kita itu. Tetapi jika Allah tidak berkehendak memperkenankan sesuatu doa, maka sudah tentu Dia tidak mengilhamkan kepada hati kita ke arah itu.

Bukan mudah bagi seorang hamba Allah mengerakkan hati dan lidahnya untuk berdoa jika tidak kerana taufik dan hidayah Allah. Apabila hati dilembutkan untuk berdoa, bererti seseorang itu telah berasa kefakirannya di hadapan Allah. Apabila kita sudah benar-benar berhajat kepada-Nya, maka Allah pasti tidak akan mengecewakan hajat kita itu.

Sebenarnya doa itu sendiri merupakan satu kurnia daripada Allah. Malah doa itu adalah modal asas yang memungkinkan seseorang itu menerima kurnia-kurnia Allah selanjutnya. Malangnya, orang yang mengetahui hakikat ini tidak ramai dalam kalangan kita. Firman Allah yang bermaksud:
“Apakah ada siapakah yang memperkenankan doa orang yang dalam kesulitan apabila dia berdoa, dan menghilangkan keburukan dan menjadikan kamu sebagai khalifah di bumi? Apakah ada di samping Allah tuhan yang lain? Terlalu amat sedikit apa yang dapat kamu mengingati.” (Surah al-Naml 27: 62)

Hamba Allah yang benar-benar mengenal Allah (arif billah) dapat rasakan apabila seseorang itu diizinkan Allah untuk mengucapkan doa (ada sesetengah orang dikelukan lidah lalu tidak boleh berdoa) adalah lebih berharga daripada termakbulnya doa itu. Hal ini kerana seorang yang berdoa itu hakikatnya sedang berdialog dengan Allah. Bagi mereka, ini adalah satu anugerah Allah yang lebih bernilai berbanding apa yang diperoleh daripada doanya. Bukankah Pemberi hadiah itu lebih patut kita hormati dan kasihi daripada hadiah yang diberikan-Nya?

Mungkin ada yang bertanya apakah benar Allah akan memperkenankan setiap doa hamba-hamba-Nya? Jawabnya, ya jika apa yang kita ajukan itu doa yang benar dan elok. Dalam hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa antara kamu yang dibukakan pintu hatinya supaya berdoa, nescaya Allah bukakan padanya pintu-pintu rahmat. Dan tidak ada doa yang dipohon itu yang lebih disukai Allah selain daripada memohon kemaafan (keselamatan di dunia dan akhirat).” (Riwayat al-Tarmizi no 3548)

Jelas di sini, doa yang dimaksudkan itu mempunyai ciri-cirinya. Antara ciri-ciri doa yang baik ialah isinya mestilah ke arah memohon kemaafan dosa dan kesalahan terhadap Allah. Rentetan daripada itu mereka pasti berdoa akan keselamatan diri dan orang lain, bukan permusuhan dan kekacauan). Dan yang paling penting, berdoa dalam keadaan merendah diri dan penuh harapan.

Oleh sebab itu, janganlah berdoa dalam keadaan terlalu mendesak dan memaksa Allah. Itu bukan sifat seorang hamba yang baik. Untuk mengatasi sikap ini tanamkanlah ke dalam jiwa satu keyakinan bahawa nikmat yang telah Allah berikan adalah lebih banyak dan lebih bernilai daripada apa yang sedang kita minta dalam doa kita itu.

Cara Allah Makbulkan Doa

Bagaimanakah cara Allah memakbulkan doa hamba-hamba-Nya? Ini memerlukan penjelasan yang tersirat dan maknawi. Sesungguhnya akal kita yang terbatas tidak akan dapat menjangkau ilmu Allah yang Maha Luas. Fahaman kita tentang makbulnya sesuatu doa mungkin hanya mampu menyingkap selapis daripada kenyataan itu, tetapi di sisi Allah punyai makna dan tafsiran yang berlapis-lapis.

Untuk menyingkap rahsia itulah Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: “Tidaklah seorang yang berdoa kepada Allah dengan doa kecuali Allah akan memberikan kepadanya, sama ada dengan dikabulkan segera di dunia lagi. Atau disimpankan untuknya kebaikan di akhirat atau ditutupkan (kifarat) dosanya setakat doanya selama dia tidak doakan unsur-unsur dosa, memutuskan silaturahim atau mohon disegerakan. Maka sahabat berkata: “Ya Rasulullah bagaimana doa minta segera itu? Baginda berkata; seseorang itu berdoa, aku berdoa tuhanku, maka perkenanlah segera.” (kata Abu Isa hadis ini gharib, sunan Al-Tarmizi, 3968)

Melalui hadis ini para ulama telah merumuskan bahawa doa itu dikabulkan menerusi pelbagai kaedah dan keadaan. Antaranya termasuk:

1. Doa Itu Dikabulkan Serta-Merta

Kebanyakan doa yang diajukan oleh para rasul dan nabi dikabulkan serta-merta. Doa Rasulullah s.a.w. menjelang perang Badar misalnya, dikabulkan oleh Allah serta-merta. Begitu juga doa Ibn Abbas r.a. ketika meminta hujan semasa umat Islam dilanda kemarau yang dahsyat. Belum pun sempat Ibn Abbas meletakkan tangannya ke bawah, hujan telah turun mencurah-curah.

Begitulah juga dengan cerita bagaimana tiga orang pemuda yang berdoa dengan wasilah amal masing-masing apabila terperangkap dalam sebuah gua seperti yang diberitakan dalam sebuah hadis yang panjang lagi masyhur. Pintu gua itu tergerak (membuka ruang) serta-merta setiap kali salah orang mereka selesai berdoa. Inilah bukti jaminan Allah melalui firman-nya yang bermaksud: “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka beritahulah mereka sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir kepada mereka. Aku memperkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku.” (Surah al-Baqarah 2: 186)

2. Dikabulkan pada Waktu Lain

Acap kali juga sesuatu doa walaupun baik, dan datang daripada orang yang baik, pada waktu yang baik, tetapi Allah tangguhkan ke waktu lain. Hal ini kerana Allah sayangkan hamba-Nya itu. Allah sengaja berbuat demikian bagi mengujinya sehingga seorang hamba itu bersedia untuk menerima nikmat-nikmat-Nya. Misalnya, Allah kurniakan kekayaan apabila hati seorang hamba telah ada rasa syukur kerana memberikannya sebelum itu akan menjadikan seseorang itu kufur. Allah kurniakan kekuasaan setelah ada dalam hati seseorang ada rasa tawaduk dan sifat adil, supaya dia boleh menjadi pemerintah yang baik apabila sudah berkuasa.

Jika tidak bersedia, dibimbangkan nikmat itu boleh bertukar menjadi bala. Itulah yang disebut “istidraj” – yakni pemberian Allah yang merupakan satu kutukan dan memudaratkan untuk iman dan Islam seseorang yang derhaka kepada-Nya. Oleh sebab itu, sering kali juga Allah menahan pemberian-Nya kerana kasih sayang-Nya terhadap seseorang. Inilah yang dinukilkan oleh Prof Dr. K.H. Muhibbuddin Waly dalam bukunya Hakikat Hikmah Tauhid dan Tasawuf: “Sebab kadang-kadang Allah memperlambat dalam memperkenankan doa mereka kerana Allah sangat sayang dan cinta mendengar suara doa yang selalu diucapkan oleh hamba-Nya itu kepada-Nya.”

3. Menghindarkan Bahaya

Doa kita kadang-kadang dikabulkan Allah dengan dihindarkan daripada bahaya yang mungkin datang. Kita tidak tahu apa bahaya yang ada di hadapan, lalu Allah datangkan halangan. Boleh jadi kita akan ditimpa penyakit yang kronik, mengalami kemalangan jalan raya, difitnah atau sebagainya. Namun dengan doa yang kita panjatkan kepada Allah, Allah selamatkan kita sebagai ganti apa yang didoakan.

Hakikat ini sangat sulit untuk difahami kerana ditunaikan tanpa sedar. Mengapa? Yalah, kita minta yang lain, tetapi Allah berikan sesuatu yang lain. Namun yang lain itu lebih besar dan bernilai ertinya berbanding apa yang kita minta. Misalnya, kita minta kejayaan dalam perniagaan, sebaliknya Allah hindarkan kita daripada penyakit-penyakit kronik. Bukankah itu sesuatu yang lebih baik?

Ingatlah apa yang Allah tegaskan menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Difardukan kamu peperangan padahal kamu membencinya, boleh jadi ada yang kamu benci baik untuk kamu, dan boleh jadi apa yang kamu sukai tetapi itu mungkin membawa mudarat bagi kamu. Allah lebih mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Surah al Baqarah 2: 216)

4. Allah Berikan Sesuatu yang Lebih Baik di Akhirat

Hidup di dunia cuma sementara. Akhirat itu yang lebih baik dan lebih kekal. Firman Allah, mafhumnya: “Dan akhirat lebih baik dan kekal.” (Surah al-A‘la 87: 17) Beruntunglah jika kita mendapat sesuatu kurnia di akhirat berbanding kurnia di dunia ini.

Sebagai perbandingan, sehelai rumput di syurga adalah lebih baik daripada sebutir mutiara di dunia. Kenapa? Kerana rumput di syurga itu lebih kekal berbanding sebutir mutiara di dunia. Itu baru sehelai rumput, bayangkan sebutir mutiara di syurga. Ia sesungguhnya, bukan sahaja lebih kekal malah lebih bernilai daripada sebutir mutiara di dunia.

Orang yang berdoa dan doanya tidak dikabulkan di dunia, akan dikabulkan doa itu di akhirat kelak, insya-Allah. Doa yang dikabulkan di akhirat itu sesungguhnya lebih baik dan kekal daripada dikabulkan di dunia lagi. Kadang-kadang Allah menahan kekayaan yang kita pinta di dunia kerana Allah hendak memberikan kita kekayaan di akhirat. Kekayaan di akhirat bererti syurga.

Menyedari hakikat ini, seharusnya kita tidak akan jemu berdoa dan tidak akan berputus asa hanya kerana doa kita belum ataupun tidak dikabulkan di dunia. Kita tahu doa itu akan menjadi “saham akhirat”. Oleh sebab itu, keyakinan kepada hari akhirat sangat penting ketika kita berdoa di dunia ini. Bagi orang yang yakin akan kehidupan di akhirat, mereka akan terus-terusan berdoa sekalipun doa mereka seolah-olah tidak dikabulkan di dunia ini.

Banyak doa-doa yang diajarkan oleh Allah kepada kita, manfaatnya untuk hari akhirat. Doa minta dimatikan dengan iman, masuk ke dalam syurga dengan iman, terhindar daripada api neraka, minta dibangkitkan dalam keadaan bersama-sama orang yang membuat kebaikan dan jangan ditempatkan bersama-sama orang yang zalim. Misalnya, Allah menganjurkan kita berdoa dengan doa ini: “Ya tuhan kami, berilah keampunan bagiku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang Mukmin pada hari terjadinya hisab (hari kiamat).” (Surah Ibrahim 14: 41)

5. Dijadikan Kifarat kepada Dosa-Dosa

Manusia sentiasa berdosa kepada Allah sama ada yang disengajakan atau tidak disengajakan. Dosa adalah pendinding untuk kita mendapat bantuan, keampunan dan kasih sayang Allah. Kita mengharapkan dosa itu diampunkan dengan taubat. Dan untuk itu kita diwajibkan untuk bertaubat atas dosa-dosa yang kita sedari.

Namun, apakah jaminan taubat kita telah diterima sekalipun telah menempuh syarat-syaratnya? Dan bagaimana pula dosa yang kita lakukan tanpa kita sedari? Itu lebih sukar diatasi. Mana mungkin kita bertaubat atas dosa-dosa yang kita rasa kita tidak melakukannya? Maka di sinilah peranan doa-doa yang kita panjatkan kepada Allah s.w.t. Doa-doa itu menjadi sebab untuk dosa-dosa kita itu diampunkan walaupun bukan itu yang kita pohon daripada Allah s.w.t.

Orang yang berdoa kepada Allah, sentiasa disayangi-Nya. Tanda sayang Allah kepadanya ialah mengampunkan dosa-dosa orang itu walaupun dia tidak meminta ampun. Inilah kehebatan dan kebesaran sifat al-Afu (Yang Maha Pemaaf) dan al-Ghaffar (Yang Maha Mengampuni) Allah s.w.t. Salah satunya ialah Dia mengampunkan dosa-dosa hamba-Nya walaupun hamba yang berdoa itu tidak meminta ampun.

ADAB BERDOA

Walau bagaimanapun doa yang dipanjatkan masih tetap ada adab dan syarat-syaratnya. Selain adab-adab lahiriah, seperti menghadap kiblat, berwuduk (lihat adab-adab berdoa seperti yang dinyatakan), ada lagi adab batin (soal hati) yang lebih utama dilaksanakan. Antaranya termasuk:

i) Berdoa dengan penuh keyakinan

Hendaklah berdoa dengan penuh keyakinan bahawa doa itu akan dikabulkan. Jangan ada rasa ragu, syak dan waham (waswas) waktu berdoa kerana Allah tidak akan mengabulkan doa orang yang dalam hatinya berbolak-balik antara percaya dan tidak akan doanya diperkenankan. Jadi, sangka baik (husn zan) terhadap Allah itu penting apabila kita berdoa.

Bagaimana membina keyakinan dalam doa? Tentulah ini bersumberkan keyakinan kita kepada Allah s.w.t. Oleh sebab itu, kita terlebih dahulu mestilah mengenali sifat-sifat dan asma’ (nama-nama) Allah s.w.t.

Antara sifat Allah ialah al-Rahman, al-Rahim, al-Wahhab, al-Ghani, al-Razzaq, al-Afu, al-Ghaffar, al-Salam dan lain-lain lagi, pasti akan timbul keyakinan semasa berdoa. Apabila sudah kenal sifatnya, barulah kita boleh memohon kepada Allah dengan penuh yakin. Sebagai contoh yang paling mudah, apabila kita yakin seseorang itu pemurah, tentu kita yakin bahawa dia akan melayan permintaan kita. Apabila kita yakin seseorang itu kaya-raya, maka kita yakin dia mampu memberikan apa yang kita minta.

Oleh sebab itu, kita dianjurkan berdoa dengan menggunakan Asma’ al-Husna (nama-nama Allah yang baik) mengikut keperluan doa itu. Firman Allah yang bermaksud:
“Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah dan berdoalah kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu.” (Surah al-A‘raf 7: 180)

Satu cara lain untuk menambah keyakinan kita dalam berdoa adalah iringilah doa itu dengan usaha dan persediaan yang baik. Keyakinan juga dibina oleh persiapan. Apabila kita berdoa minta kesihatan, usaha dan persediaan kita juga selaras ke arah itu, maka keyakinan diri kita akan meningkat. Ya, doa yang digandingkan dengan usaha akan meningkatkan lagi tahap harapan dan harapan yang tinggi itulah yang akan membuahkan keyakinan.

ii) Jangan Berdoa Sesuatu yang Membawa Permusuhan dan Dosa

Doa yang buruk hakikatnya bukan doa. Doa yang berpaksikan permusuhan tidak akan dimakbulkan Allah. Oleh sebab itu berhati-hatilah agar tidak berdoa dengan hati yang kotor. Jangan kita ajukan kepada Allah sesuatu yang berbentuk dosa dan kefasiqan. Doa hanyalah untuk yang baik-baik dan dengan tujuan yang baik-baik pula.

Begitu juga berdoa untuk menang dalam pertaruhan (judi), berjaya dalam pertandingan yang dalamnya ada perbuatan mendedahkan aurat dan pergaulan bebas, kaya dengan perniagaan yang berunsur riba, berkuasa melalui kaedah yang kotor dan fitnah serta lain-lain bentuk kemungkaran yang seumpamanya adalah dilarang dan tidak akan dikabulkan. Kita juga tidak dibolehkan mendoakan sesuatu yang boleh memutuskan ikatan silaturahim sesama Islam.

iii) Jangan Berdoa Tanpa Bertahmid dan Berselawat

Ulama ada menjelaskan bahawa sesuatu doa itu tidak akan dikabulkan tanpa bertahmid (memuji) kepada Allah dan berselawat kepada Nabi Muhammad s.a.w. Kedua-dua faktor ini sangat penting untuk melahirkan rasa bersyukur dan berterima kasih kepada Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w. Tanpa rasa syukur, sukar doa kita itu didengari dan seterusnya diperkenankan oleh Allah s.w.t.

Bayangkan jika seseorang meminta tambahan atas nikmat yang sedia ada, dia mestilah menunjukkan rasa berterima kasih atas nikmat yang telah diberikan itu terlebih dahulu. Rasa syukur itulah yang akan menggamit turunnya nikmat yang baru. Firman Allah yang bermaksud: “Jika kamu bersyukur nescaya kami akan tambahkan nikmat-nikmat Kami. Dan sebaliknya jika kamu kufur, azab Allah amat pedih.” (Surah Ibrahim 14: 7)

Dengan bertahmid, kita menyatakan syukur kepada Allah. Dengan berselawat kita mengucapkan terima kasih kepada insan yang paling banyak berjasa kepada kita yakni Nabi Muhammad s.a.w. Hanya setelah bersyukur, Allah yang bersifat al-Wahhab (Maha Pemberi) akan menambahkan lagi nikmat-nikmat-Nya. Benarlah seperti yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. melalui sabdanya yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak bersyukur dengan yang sedikit, tidak akan bersyukur dengan yang banyak.”

Itulah tiga sebab mengapa doa terhijab. Dalam konteks yang sama, apa yang dinyatakan oleh Ibrahim bin Adham (seorang ahli tasawuf) tentang punca-punca doa terhijab sangat perlu dijadikan renungan. Namun, walau apapun keadaan kita, sama ada dalam keadaan taat atau derhaka, dalam keadaan senang ataupun susah, doa mesti terus dipanjatkan. Makbul atau tidak itu soal kedua. Yang paling utama adalah jangan sekali-kali berputus asa untuk terus berdoa kepada Allah s.w.t.

Dan jangan sekali lupa, apa yang telah Allah berikan kepada kita sebenarnya lebih banyak daripada apa yang sedang kita minta (doa).

Cinta Allah


Mengapa begitu sukar mencintai Allah? Ya, benar. Memang sukar mencintai Allah. Walaupun kita tahu bahawa Dialah yang sewajarnya kita cintai. Budi-Nya, kasih-sayang-Nya, nikmat-Nya terlalu banyak untuk dimungkiri. Segala kebaikan Allah yang dilimpahkan-Nya ke atas kita melebihi kebaikan manusia. Sekalipun manusia itulah yang paling baik dengan kita.

Hatta kasih ibu yang sejati itupun hanya ‘sekelumit’ jika hendak dibandingkan dengan kasih Allah yang melangit. Ya, sekali lagi kita bertanya kepada hati kita… kenapa sukar benar mencintai-Nya? Walaupun fikiran kita mengiyakannya, iaitu lojik dan patut kita mencintai Allah. Tetapi hati kita masih berat, masih sukar merasainya.

Mengapa hati sedegil itu? Untuk mengetahui kenapa, mari kita bandingkan hati kita dengan fizikal kita. Dalam keadaan badan sihat, kita boleh makan dengan berselera sekali. Hadapkan ayam goreng, asam pedas, tomyam atau apa sahaja masakan yang enak-enak, tentu mulut kita dapat menikmatinya dengan lazat.

Tetapi apa kata kalau badan kita tiba-tiba jatuh sakit? Demam selsema menimpa. Tekak kita jadi pahit, selera kita jadi sempit. Ketika itu, hidangkanlah makanan selazat manapun, insya-Allah mulut kita akan menolaknya. Yang manis terasa pahit. Segala-galanya bertukar menjadi hambar, kelat dan meloyakan.

Kenapa jadi begitu? Apakah makanan itu yang berubah rasa atau mulut kita yang berubah selera? Tidak, makanan tetap sedap. Tetapi bila badan kita sakit, selera kita akan pahit. Begitulah hati kita apabila tidak mahu mencintai Allah. Bukan kerana cinta Allah itu tidak agung, tidak hebat, tidak indah tetapi hati kita yang sakit.

Hati yang sakit tidak akan dapat menikmati keindahan cinta Allah seperti badan yang sakit tidak dapat menikmati kelazatan makanan. Jika perbandingan ini dapat diterima, maka kita boleh mengukur tahap ‘kesihatan’ hati kita.

Rupa-rupanya dalam kehidupan ini ramai manusia (termasuk kita) yang ‘sakit’ hati. Bila kita tidak dapat merasai cinta Allah, sebaliknya lebih cinta selain Allah, maka itulah tandanya hati kita sedang menderita kesakitan. Malah ‘sakit’ hati ini lebih buruk akibatnya daripada sakit fizikal.

Jika sakit fizikal akan menyebabkan kita menderita di dunia, sakit hati akibat gagal mencintai Allah akan menyebabkan kita menderita di dunia dan menderita di akhirat. Jika sakit fizikal berakhir dengan kematian, tetapi ‘sakit’ hati akibat lebih parah. Kita akan menderita selama-lamanya di akhirat.

Mengapa hati kita sakit?

Hingga dengan itu hati tidak bergetar lagi dengan cinta Allah? Bukankah cinta Allah itu fitrah? Ertinya, cinta Allah itu adalah ‘makanan’ atau ‘penawar’ kepada hati manusia. Sebelum menjawabnya izinkan saya membawa satu analogi. Katalah, ada seorang anak yang sejak kecilnya lagi sudah dipisahkan daripada ibunya yang sejati. Oleh kerana ada masalah yang tidak dapat dielakkan, anak itu dipelihara oleh ibu angkat. Masa berlalu bertahun-tahun. Hinggalah anak itu mencapai usia dua puluhan.

Tiba-tiba, si anak mengetahui rahsia yang dia sebenarnya cuma anak angkat sahaja kepada ‘ibunya’ sekarang. Dia pun mencari ibunya yang sejati. Ibu yang telah mengandungkan dan melahirkannya. Maka di hari pertemuan bersejarah itu (masih ingat program Jejak Kasih?), sianak pun bertemu dengan ibu sejatinya ditemani oleh ibu angkatnya.

Saya ingin bertanya, dan anda boleh menjawabnya… pada ketika itu, siapakah yang lebih dikasihi oleh sianak? Ibu sejati yang telah terpisah sekian lama itukah atau ibu angkatnya yang telah memelihara selama ini?

Anda pasti setuju kalau saya katakan, hati sianak akan lebih mengasihi ibu angkat yang telah memeliharanya selama dua puluh tahun berbanding ibu sejati yang baru dikenalinya pada hari pertemuan itu. Walaupun pada lojik dan dari segi rasionalnya, ibu sejati perlu dikasihi berbanding ibu angkat, tetapi dari segi perasaan sianak tidaklah begitu. Sayang bukan paksaan. Sayang bukan pemikiran. Tetapi ia soal rasa. Ia datang dengan sendirinya. Kenapa sayang dan cinta sianak tak mahu bertandang walaupun dia patut merasa begitu?

Kenal Allah Dari Alam Roh
Maka begitulah halnya dengan hati kita. Sebenarnya, sejak di alam roh lagi kita sudah kenal Allah dan mengakui Dialah Tuhan kita. Firman Allah:
“Bukankah Aku ini Tuhanmu? Maka semua (roh manusia) menjawab, ‘Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi.”

Al-A’raf : 172

Di alam roh lagi kita telah mengenal Allah. Bahkan telah mengakuinya sebagai Rob (Tuhan kita). Mengenal Allah ertinya mencintai Allah. Kerana siapa sahaja yang kenal Allah, pasti akan mencintai-Nya. Namun perlu diingat, mengenal dan mengetahui itu berbeza. Mengenal dengan hati, mengetahui dengan akal. Sebenarnya, hati kitalah yang telah mengenal Allah di alam arwah dahulu bukan akal kita. Tegasnya, cinta sejati sejak diri bermula ialah cinta Allah.

Malangnya, ramai manusia dipisahkan daripada cinta sejati itu sebaik sahaja mereka lahir ke dunia. Kita mula dipisahkan daripada cinta Allah seperti seorang anak yang dipisahkan daripada ibu sejatinya. Sejak itu tempat cinta sejati di hati kita telah diambil oleh ‘cinta angkat’. Kita telah terpisah dari Allah. Siapa yang memisahkan kita daripada cinta Allah? Sedih, yang memisahkan manusia daripada cinta Allah kerap-kalinya ialah ibu-bapa mereka sendiri. Ibu-bapa tidak mengenalkannya kepada Allah.

Akibat Benih Cinta Allah Terbiar

Konsep didikan yang bertitik-tolakkan ‘Awaludin makrifatullah’ – awal agama mengenal Allah’ tidak diberikan. Benih cinta Allah yang sudah ada dalam diri terbiar. Tidak dibajai dan diairi. Akibatnya, kita kenal ‘selain Allah’. Maka cinta kita pun beralih arah. Hakikat ini ditegaskan oleh sabda Nabi saw:

“Tiada seorang bayi pun yang lahir melainkan dia dilahirkan di atas fitrah. Lalu kedua orang tuanyalah yang menjadikannya Yahudi, atau Majusi atau Nasrani, seperti haiwan itu melahirkan haiwan yang sama secara utuh. Adakah kamu menemukan adanya kecacatan?”

Riwayat Bukhari

Bermula dari situ perpisahan dengan cinta Allah pun bermula. Makin bertambah usia semakin jauh jarak perpisahan itu. Kekadang oleh corak pendidikan yang diterima. Begitu juga media massa yang didengar dan lihat. Apa lagu yang didengarnya? Apa filem yang ditontonnya? Cinta siapa yang lebih kerap dilihat dan didengarinya? Malang sekali, bukan cinta Allah tetapi cinta selain-Nya.

Puluhan tahun si anak dibuai oleh cinta makhluk seperti seorang anak yang dipelihara oleh ibu angkatnya. Hati, pemikiran, perasaan bahkan jiwa telah diserah seluruh dan sepenuhnya kepada ‘cinta angkat’ itu. ‘Cinta angkat’ itulah yang mendodoikannya sejak dia dalam kandungan ibu, di dalam buaian, di rumah, di sekolah, di dalam masyarakat dan di seluruh persekitarannya. Pancaindera kita sepenuhnya berinteraksi dan berkomunikasi dengan cinta itu sahaja. Dan pada ketika itu manusia yakin sepenuhnya bahawa ‘cinta angkat’ itulah cinta sejati kita.

Mencari Cinta Sejati

Ada orang yang bernasib baik, tiba-tiba arus kesedaran melanda. Cahaya ilmu menerpa dengan tiba-tiba. Lalu tersentaklah dia bahawa cinta itu bukan cinta yang sejati. Ada cinta yang lebih hakiki. Itulah cinta Allah. Dia mencari cinta itu, seperti anak angkat yang mencari ibunya yang sejati. Lalu dia menemuinya.

Menerusi pengajian, melalui pembacaan, menerusi lidah para daie, melalui tarbiah para ulama tahulah dia bahawa Allah-lah cinta yang sejati. Namun… semuanya masih di daerah ilmu, bukan di alam rasa. Dia tahu Allah wajib dicintai, tetapi hatinya tidak merasai. Aduh, malangnya… akal tahu, hati tak mahu!

Apa yang perlu dibuat bila hati telah sakit? Tidak ada lain, kita mesti mengubat dan merawatnya. Samalah seperti fizikal yang sakit, ia perlukan ubat dan rawatan. Oleh kerana fizikal kita berasal dari tanah, maka buatnya pun mesti berasal dari tanah. Feram, Natrium, Magnesiam dan lain-lain unsur semuanya dari tanah. Herba juga demikian.

Ubat sakit fizikal yang berasal dari tanah juga berasal dari tanah. Namun hati adalah soal rohani, ia bukan berasal dari tanah. Jadi ubat dan penawarnya bukan dari tanah. Tetapi ubat bagi hati ialah kembali kepada asalnya, yakni kembali dekat kepada Allah.

Hati yang dekat kepada Allah akan tenang dan sihat semula. Ia telah kembali kepada fitrahnya. Itulah ubat hati. Namun jalan ke situ bukan mudah. Ubat sakit fizikal selalunya pahit. Rawatan sakit fizikal juga perit. Tetapi oleh kerana inginkan badan yang sihat kita rela menelannya. Kita rela berpantang. Menahan daripada makan makanan yang berkolestrol, lemak, manis, masin, berminyak walaupun itu semua kesukaan kita. Kita ikut semua nasihat doktor. Berlari, bersenam dan mengawal stresss… kita ikuti, patuhi walaupun berat kerana inginkan sihat.

Pengubat Hati

Maka begitulah jalan untuk menyihatkan hati. Penawarnya pahit. Ubat jarang yang manis. Namun, semua itu perlu ditempuh jua. Apakah ubat hati?

• Hadiri majlis ilmu iaitu ilmu yg memberi menfaat.
Mula-mula lazimilah menghadiri majlis ilmu. Ilmu adalah cahaya hati. Majlis ilmu adalah ‘taman syurga’ di dunia. Kata ulama, siapa yang tidak menghadiri majlis ilmu selama 40 hari (sesetengahnya mengatakan 7 hari) maka hati seseorang akan keras.

Walaupun berat kaki melangkah, gagahilah juga sepertimana pesakit yang terpaksa menelan ubat yang pahit. Terangi hati yang gelap dengan cahaya ilmu. Dengan ilmu kita dapat mengetahui sifat-sifat Allah yang Maha Sempurna. Nama-Nya yang baik dan mulia.

• Amal ilmu, dirikan solat.
Dari sana, susuli langkah seterusnya. Ilmu imam, amal adalah makmumnya. Mulalah amalkan latihan-latihan asas dan teras untuk merawat hati. Ubat hati ialah zikrullah – ingat Allah. Dan cara mengingati Allah yang paling utama ialah mendirikan solat. Solat juga dikatakan berasal dari ‘silah’ (penghubung) antara hamba dengan Tuhan.

Fahami makna bacaan, hayati erti gerakan dan resapkan rasa-rasa daripada segalanya itu ke dalam hati. Walau susah sungguh, tetapi paksalah diri.

Sedangkan bisa boleh jadi biasa apabila dilazimi, apatah lagi ‘penawar’ tentulah lebih mudah kita biasakan apabila dilazimkan. Ingat solat itu penawar. Walaupun sukar kita merasa kemanisannya di peringkat awal, tetapi kemanisannya pasti datang juga jika kita berterusan mengamalkannya.

Ingat selalu kata-kata, mujahadah itu pahit kerana syurga itu manis. No pain, no gain. Sedangkan merebut cinta makhluk pun susah, apalagi mencari cinta Allah. Tentulah lebih susah. Tidak ada jalan mudah, itulah jalannya… jalan mujahadah.

• Berpantang
Seperti sakit fizikal yang perlu pada pantang larangnya, begitu jugalah ‘sakit hati’ ada juga pantang larangnya. Makan ubat tidak boleh diiringi makan ‘racun’. Apalah ertinya kalau kita rajin makan ubat penyakit darah tinggi, jika kita terus makan daging, garam dan lemak secara berlebihan?

Atau pesakit kencing manis yang rajin menyuntik insulin tetapi rajin juga minum teh tarik yang manisnya keterlaluan? Penyakit tidak akan sembuh, jika melanggar pantang. Bahkan, sesetengah pengamal perubatan menegaskan berpantang lebih baik daripada berubat.

Begitulah halnya dengan usaha penyembuhan ‘sakit hati’, ada pantang larang juga. Perlu ‘berpantang’ daripada perkara-perkara yang boleh menyuburkan nafsu. Misalnya, melihat, mendengar atau terlibat secara langsung dengan perkara-perkara yang diharamkan seperti pergaulan bebas, program hiburan yang merangsang nafsu, filem-filem lucah, dan lain-lain suasana yang boleh menyuburkan hawa nafsu. Sebaik-baiknya carilah kawan yang seiya sekata. Bentuk kumpulan kecil yang mempunyai satu fikiran, satu tujuan dan satu rasa – yakni sama-sama ingin mencari cinta Allah.

• Cari perkumpulan yang baik.

Untuk buat baik, perlu ada kumpulan. Untuk buat jahat, perlu ada ‘geng’. Bila ada perkumpulan (dulu dikampus sering dinamakan study group atau usrah), maka tentu ada program. Program yang baik boleh dibentuk sebagai alternatif kepada program yang negatif. Membaca dan mengkaji buku-buku agama, meningkatkan ilmu fardhu Ain, mendengar kuliah tafsir, mendengar nasyid-nasyid atau lagu-lagu yang baik, program riadah, sukan dan rehlah yang Islamik adalah program-program soleh yang boleh diatur oleh perkumpulan itu.

Ini adalah penebat kepada idea-idea nakal dan jahat yang boleh menggoda kita. Kita ada kawan, ada aktiviti dan akhirnya terbentuklah suasana dan persekitaran yang soleh. Masa lapang kita akan terisi. Ingat, musuh orang muda adalah ‘masa lapang’. Masa lapang ini perlu diisi dengan kesibukan belajar dan memperbaiki diri. Dengan adanya program-program ini pantang larang dalam usaha menyembuhkan hati yang sakit dapat dijaga. Ada kawan mengingatkan. Ada program yang menyibukkan. Ada suasana yang mencorakkan.

Inilah sebahagian langkah untuk mengubat ‘sakit hati’ di kalangan para orang muda masakini. Sebelum berpisah renungilah kata Imam Ghazali rhm:
“Pertama telah kupandang makhluk yang banyak ini. Maka aku saksikanlah bahawa, tiap-tiap mereka mempunyai kekasih dan kecintaan tempat hatinya tertambat. Sebahagian daripada kekasih itu hanya mendampingi sampai ke sakit yang membawa maut dan sebahagian lagi hanya sampai ke tepi liang kubur.

Setelah itu kesemuanya pulang dan meninggalkan terbaring seorang diri. Tak seorang jua pun yang turut masuk ke kubur dan menghiburnya di dalamnya. Yang demikian tak kudapati selain amal yang soleh. Sebab itu maka kuambil ia menjadi kekasihku, supaya kelak ia menjadi pelita di dalam kuburku, menghiburkan dan tidak meninggalkan aku seorang diri.”

Oleh itu, takutlah kepada kemurkaan Allah. Carilah keredhaan Allah ketika di dunia lagi. Di akhirat nanti, bukan tempat untuk berbuat beramal. Alam akhirat ialah tempat kita diperlihatkan kebaikan mahupun kejahatan walau sebesar zarah pun.

Ya Allah, bantulah kami untuk ingat pada Mu, syukur pada Mu dan mengelokkan ibadah kami kepada MU! Bantulah mujahadah kami ya Allah…

cinta & tawakal


 alhamdulillah dgn rahmatNya sy masih dpt berkongsi cerita dlm blog ini..actually blog cantik di mata cantik di hati ini bukan setakat cerita2 personal yg berlaku dlm kehidupan seharian,tetapi blog ini adalah tuk berkongsi cerita2 yg berunsur pengajaran..dan artikel2 yg sy baca ini adalah dr blog2 yg sy pernah baca ..dr org2 yg berpengalaman..so apalah salahnya setiap apa yg blh di jadikan panduan kita kongsikan di sini..maybe kita dpt iktibar or dpt muhasabah diri..dr bhn2 yg di baca..
benda yg baik kita ambik dan apa yg buruk kita jauhkan dr kehidupan moga2 dgn cara ini kita akan sentiasa muhasabah diri..insyaallah..

pd mulanya mmg blog ini suka2 tuk menghilang boring..coz semenjak duduk di brunei kesunyian selalu bertandang..ttpi alhmdulillah dgn cara ini dpt juga menambahkan ilmu serba sdikit ttg apa yg kita tak tahu..


Di sebalik cinta dan Tawakal

Saya menulis artikel ini dalam perjalanan dari Madinah menuju Mekah. Saya datang menyertai rombongan Majlis Agama Islam Perlis bersama dengan Yang Dipertuanya, Raja Muda Perlis.

Setelah pulang dari UK, saya dilantik menjadi Ahli Majlis Agama Islam Perlis yang dahulu saya berada dalamnya atas kapasiti Mufti. Sekarang saya berada dalamnya atas individu saya sahaja. Majlis Agama Islam Perlis membuat lawatan kerja ke beberapa negara; Saudi, Mesir dan Tunisia.

Rasanya hampir dua tahun saya tidak ke Madinah dan Mekah. Seperti orang lain, setiap kali masuk semula ke Madinah jiwa menjadi sayu, syahdu dan rindu. Tidaklah dapat digambarkan dengan bahasa dan bicara, perkataan dan tulisan. Ia satu perasaan yang menerjah ke setiap penjuru jantung dan urat nadi.

Apa tidak, di sinilah tempat insan yang amat kita cintai yang namanya kita sebut saban, Muhammad s.a.w. Bagindalah pemimpin, baginda teladan. Kita ini rela menderita, rela dihina, rela dianiaya, rela dipersenda demi memenuhi cinta kepadanya dan agama yang dibawanya. Kita akui jalan bagindalah jalan yang terbaik dan kita membenci setiap bidah yang cuba ditokok tambah, atau khurafat yang cuba dipalitkan kepada agama yang dibawa baginda, kerana hidup kita hanya mengiktiraf baginda sebagai rasul yang akhir.

Demikianlah Allah mengingatkan kita: (maksudnya)

Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani” (Surah Ali-‘Imran, ayat 31)

Kata al-Hafizd Ibn Kathir (meninggal 774H):

“Ayat ini adalah pemutus kepada sesiapa yang mendakwa mencintai Allah tetapi tidak di atas jalan Muhammad. Maka sesungguhnya dia adalah pendusta atas apa yang didakwanya, sehinggalah dia mengikuti syariat Muhammad dan agama nabawi dalam semua perkataan, perbuatan dan hak ehwalnya seperti yang pasti dalam Sahih al-Bukhari daripada RasululLah s.a.w:Sesiapa yang beramal dengan suatu amalan yang tidak di atas petunjuk kita, maka dia ditolak” (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/366, Beirut: Dar al-Ma’rifah)

Walaupun Madinah telah berubah wajahnya dengan bangunan yang jauh lebih indah dan moden, tidak lagi seperti zaman baginda, namun cinta dan rindu tidak pernah dimamah sejarah dan tidak wajar berubah. Kita merindui Madinah bukan kerana bangunannya, tetapi di sinilah tempat perjuangan dan kehidupan insan yang kita cintai. Bak kata Qais yang dianggap gila kerana terlalu mencintai Laila:

“Aku merentasi rumah Laila, aku mencium dinding-dindingnya,
Bukanlah cintakan rumah itu merindukan kalbuku, tetapi cintakan penghuninya”

Demikian Madinah, bukan kerana ia Madinah semata-mata, tetapi kerana sejarah perjuangan yang tercatat di dadanya. Rindu dan cinta bersalut dalam jiwa apabila mengenang di sinilah bumi pengorbanan dan perjuangan Rasul yang tercinta. Namun bagaimana mungkinkah cinta dan kasih itu akan lahir jika kita tidak mempelajari dan menghayati sirah perjuangan dan pengorbanan yang agung itu?!

Bekalan

Seperti yang saya pernah sebutkan, hidup ini adalah kembara merentasi benua yang mencabar. Ketakutan dan cabaran menghambat kita di mana-mana. Namun Allah menyediakan berbagai bekalan kekuatan yang jika dihayati, diselami dan dihirup ke dalam urat nadi akan menjadikan insan sabar dan yakin dalam meneruskan kembara ini.

Antara bekalan yang disediakan ialah solat, terutama di qiyamullail. Esakan dan tangisan rintihan di malam yang sunyi adalah nikmat yang tidak gambarkan. Airmata rintihan dan pengakuan diri di hadapan Allah atas kelemahan dan dosa, juga pemohonan atau doa agar diberikan limpah kurnia, itu semua adalah kenikmatan yang tidak dapat difahami melainkan sesiapa yang merasainya. Dalam sebak tangisan itulah insan merasai nikmat menghambakan diri kepada Tuhan Yang Maha Agung. Itulah bekalan dalam merempuh cabaran dan dugaan hidup.

Demikian juga Ramadan, kedatangannya selalu memberikan kekuatan baru dalam hidup ini. Tangisan dan esakan di kesunyian malam ketika sendirian, maka tanpa riyak dan ujub, membawa kekuatan kepada diri insan dalam menerusi agenda perjalanan hidup. Begitulah juga, haji dan umrah. Segalanya apabila ditunaikan dengan jiwa yang merendah kepada Allah, lidah yang memohon ampun dan kurnia, ia adalah bekalan kekuatan yang maha ajaib.

Hidup ini jika Allah bantu keajaiban akan berlaku. Percayalah kepada doa dan tawakal, di samping berusaha menurut prinsip-prinsip agama. Apabila Allah menolong kita tiada siapa lagi yang dapat melakukan apapun. Pertolongan dan kurnia Allah itu boleh menjelma dalam berbagai rupa dan bentuk, cuma kita yang selalu jahil untuk memahami kemakbulan doa yang pernah diminta.

Banyak ungkapan doa yang mengandungi erti yang hebat yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. Tidak perlu ajaran tarekat yang sebahagiannya mencipta wirid dan zikir rekaan, sehingga melupai keindahan wirid dan doa yang sahih yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. Antara ungkapan doa yang amat menarik jiwa saya ialah doa yang baginda s.a.w ajar:

“Ya Haiyyum, Ya Qayyum, dengan rahmatMu daku memohon pertolongan. Baikilah seluruh urusanku, dan janganlah Engkau serahkan diriku ini kepadaku walaupun sekelip mata” (Riwayat al-Nasai, dinilai sahih oleh al-Albani).

Setiap kali ada kesempatan yang baik, di tempat yang baik dan di waktu yang baik, saya sering mengulangnya, walaupun entah kali ke berapa ratus atau ribu sekalipun. Ya! Jika Allah yang menguruskan urusan kita, tentu aturan yang ditentukan itu akan begitu hebat merentasi andaian mana-mana insan. Namun jika hidup ini hanya bergantung kepada orang lain, kita sering menjadi mangsa. Jika bergantung kepada diri semata, banyak perkara yang kita akan gagal mengendalikannya. Namun, apabila kita serahkan agar Allah membantu, tanpa ditinggalkan kita walaupun sekelip mata, keajaiban hidup akan berlaku.

Usaha adalah tuntutan kehidupan, namun tawakal yang sebenar adalah jaminan kekuatan dan kesejahteraan. Allah boleh mengatur perjalanan ini apa yang disangka tewas oleh manusia, tetapi kejayaan yang berlaku, apa yang disangka kecewa oleh manusia, tetapi kebahagiaan yang memenuhi jiwa.

Ajaibnya cinta, ajaibnya tawakkal. Semoga Allah tidak meninggalkan kita semua dalam merentasi kehidupan ini
Memahami perbezaan sikap pasangan bukanlah satu formula terunggul untuk mencapai kebahagian dalam sesebuah rumahtangga. Namun ia boleh berfungsi untuk mengurangkan stress dan tekanan kepada pasangan.

Telah tiga kali, saya diminta untuk mengulas perihal formula kebahagiaan rumah tangga sepanjang berada di United Kingdom. Kali pertama di Ireland, kali kedua di Cumbria, sempena Kem Mithali anjuran komuniti Malaysia Manchester and terbaru di Sheffield pada 5 Jun 2010. Saya akui, saya bukanlah seorang yang specialist di dalam bidang ini walau telah berumahtangga selama 11 tahun. Walaupun begitu, mungkin atas kapasiti saya selaku seorang pendakwah dan berpendidikan agama, saya tidak henti-henti menerima email dan soalan berkaitan masalah rumah tangga, sebahagiannya tidak melibatkan hukum sama sekali. Ia hanya melibatkan kefahaman kaedah, teknik dan cara melayari bahtera rumahtangga.

Ada yang datang dari suami dan juga isteri, saya kira telah beberapa kali para suami yang menghubungi saya, menangis teresak-esak sewaktu menceritakan masalah berkaitan rumahtangga khususnya yang berkaitan dengan sikap isterinya. Ia adalah satu situasi yang sukar buat saya kerana saya bukanlah pakar bidang kaunseling rumahtangga.

Apapun, keadaan sebegitu mampu memberikan saya gambaran dan keadaan rumahtangga di Malaysia. Jika ketidakstabilan rumahtangga sebegitu berterusan, ia bakal menghasilkan anak-anak yang membesar dalam keadaan pincang dan serba kekurangan.

Menyedari kepentingan kestabilan rumahtangga, dari semasa ke semasa saya dan isteri berusaha memperuntukkan sedikit waktu untuk berfikir, meneliti rumah tangga sendiri, membaca buku berkaitan dan seterusnya menghasilkan cadangan-cadangan dan ulasan bagi manfaat ramai.

Sebagai salah satu usaha bagi mengurangkan tekanan dari kedua-dua belah pihak, suami dan isteri, melalui artikel ini, saya cuba memberikan fokus kepada kepentingan memahami perbezaan sifat lelaki dan wanita. Fikiran dan kehendak seorang lelaki dan wanita ada yang sama dan yang berbeza. Apabila tidak memahami perkara yang berbeza, ia akan sangat mudah mencetus sangka buruk, rasa disisih dan sebagainya.

FUNGSI RUMAHTANGGA

Dalam kesempatan yang amat terbatas ini, saya akan membawakan empat isu terlebih dahulu, sekadar mencuba-cuba memberi sedikit pembuka minda buat insan yang bergelar suami dan isteri dalam melayari rumah tangga mereka. Agar kita semua mampu menepati objektif sebuah rumahtangga yang digariskan oleh Allah swt iaitu :-


وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Ertinya : Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu pasangan-pasanganmu dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berpikir. ( Al-Rum : 21)



Berdasarkan rujukan saya dari huraian para ulama silam di dalam kitab-kitab tafsir, dapat saya simpulkan dari ayat di atas, antara fungsi rumahtangga yang MESTI diusahakan oleh kedua-dua pasangan adalah untuk menjadikannya sebagai :-

1) Litaskunu Ilayha

= Tempat merasa tenteram, kerehatan dan ketenangan. Faktor terkuat untuk menghasilkan aspek ini adalah individu di dalam rumah itu sendiri. Walau rumah sebesar dan sehebat mana pun binaannya, tanpa ahli rumah yang berkualiti, rumah tetap tidak mampu menghilangkan masalah.

2) Mawaddah wa rahmah

= tempat emosi dan perasaan belas, kasih sayang dan cinta dipupuk. Maka adalah tanggung jawab pasangan untuk sentiasa memperbaharui kasih dan sayang mereka di antara satu sama lain. Itulah salah satu huraian yang diberikan oleh Sahabat Nabi, Ibn Abbas r.a apabila beliau berkata :

المودة حب الرجل امرأته

Ertinya : Mawaddah itu adalah kasihnya seorang suami terhadap isterinya ( Tafsir Al-Qurtubi)

Justeru mempelajari caranya juga merupakan satu tuntutan, menzahirkannya kepada pasangan juga merupakan sebuah tuntutan.

= Saling ambil berat atas kebajikan, perasaan, kerungsingan. Tabiat natural manusia cenderung kepada keinginan seseorang untuk mengambil berat tentang dirinya. Justeru, ini adalah antara item penting yang mesti diwujudkan di dalam sebuah rumahtangga. Wajib ke atas kedua-duanya, suami terhadap isteri dan begitu juga sebaliknya. Sahabat nabi, Ibn Abbas r.a menjelaskan

الرحمة رحمته إياها أن يصيبها بسوء

Ertinya : Al-Rahmah itu adalah belasnya dan ambil tahunya seorang lelaki ke atas isterinya apabila dia ditimpa kesusahan dan keburukan. ( tafsir Al-Qurtubi)

= Imam Ibn Abbas r.a dan Mujahid pernah menerangkan bahawa Mawaddah bermaksud Jima' manakala rahmah itu adalah anak. Hasilnya, nafqah batin dan kepuasan suami isteri melaluinya adalah crucial di dalam sebuah rumahtangga. Kehadiran anak pula juga merupakan satu objektif perkahwinan yang dibanggai Rasulullah. Namun bagi yang belum mendapat rezeki itu, banyakkan berdoa dan teruskan usaha.

ADUAN & PERLU FAHAM

Bagi mencapai target rumahtangga yang disebut oleh Allah ta'ala, bibit masalah yang kerap menjadi punca awal membawa penceraian, hilang cinta dan kasih perlu ditangani. Antara punca awalnya boleh dilihat dalam beberpa aduan pilihan di bawah. Ia dikutip hasil dari beberapa aduan yang saya terima dan juga pembacaan. Saya gariskan cadangan dan apa yang perlu difahami oleh suami dan isteri dalam menghadapi aduan dan pertikaian mulut pasangan.

RUNGUTAN 1

ISTERI : Dia duduk di depan TV sedangkan aku buat segalanya, aku bukan maid. Dia hanya bantu bila aku minta, tak bolehkah proaktif seperti aku?

SUAMI : Dia ingin semuanya dibuat serentak sekarang. Rehatlah dulu. Dia mengharapkan aku menjadi pembaca mindanya selalu

YANG SEPATUTNYA

LELAKI FAHAM

· Wanita sekadar meluah kepanikannya terhadap sekeliling, dia sebenarnya perlukan teman ketika mengemas agar hati gembira, badan sihat.

· Bantulah sekadarnya atau yakinkan isteri untuk berehat terlebih dahulu, namun perlu ajaknya sekali dan jangan terus berehat sendirian & membiarkannya bekerja.

· Sekali sekala, buat kejutan dengan mengemas seluruh rumah bersih secara mengejut (i.e basuh baju, sidai, basuh pinggan dsbgnya).

WANITA FAHAM

· Lelaki akan memberi seribu satu macam justifikasi untuk berehat. Fahamilah kerehatan mampu memberi kestabilan minda dan tubuh kepada diri suami, mengurangkan risiko marah tidak bertempat. Bukankah ia baik untuk isteri dan anak-anak?

· Justeru, buatlah apa yang disukai dahulu & itulah tanda lelaki ingin merasakan rumah sebagai tempat berehat & bertenang.

· Adakalanya dia juga tidak ingin menganggu kepakaranmu, dibimbangi menjadi beban kerana ketidaksempurnaan kerjanya. Itu boleh jua menjadi tanda kasihnya kepadamu.

RUNGUTAN 2

ISTERI : Bila aku bercakap kepadanya, dia sering menganggu atau memberi penyelesaian

SUAMI : Setiap tungkus lumus idea aku tidak dihargainya malah ditambah komplennya.

YANG SEPATUTNYA

LELAKI FAHAM

· Fahamilah, bahawa wanita dalam banyak kebarangkalian dan keadaan, mereka bercerita masalahnya sekadar untuk melepas bebanan dan bukan mencari penyelesaian segera. Justeru, jadilah pendengar yang baik.

· Dia juga suka bercakap masalahnya bagi meraih simpati dan kasih suami terhadapnya. Tunjukkan simpati. Namun cuba elak buat sementara sebarang penyelesaian melalui lafaz, dan banyakkan response melalui sentuhan.

WANITA FAHAM

· Lelaki kerap ingin menjadi hero dan juara dalam bidangnya, khususnya di hadapan wanita. Kerana itu dia sering menyampuk sebagai tanda ambil seriusnya dia terhadap masalahmu dan ingin segera menyelesaikannya.

· Respons dan berterusan dengan wajah kurang senang selepas cadangannya dibuat akan boleh disalah tanggap sebagai merendahkan kewibawaannya.


RUGUTAN 3

ISTERI : Bila dia bercakap, terus menerus dan langsung tidak berminat untuk mendengarku bercakap." Tak pandang kita pun."

SUAMI : Aku memang mendengar, walau mata melihat kepada perkara lain. Aku sudah bantu dengan pelbagai cadangan penyelesaian namun dia masih tidak puas hati.

YANG SEPATUTNYA

LELAKI FAHAM

· Wanita lebih rasa dihargai apabila kita melihat dengan tepat ke matanya dan menunjukkan reaksi wajah.

· Justeru, walau rasa kurang selesa dengan cara itu, ambillah hatinya.

WANITA FAHAM

· Sebahagian lelaki tidak suka memandang tepat di wajah isteri khususnya apabila isteri membangkitkan masalah dalam rumahtangga mereka.

· Kerana setiap ungkitan itu dianggap mencabar wibawa dan egonya. Justeru fahamilah jika dia senyap semasa anda bercakap dan memberikan luahan, itu sudah memadai sebagai tanda dia mendengar dan berfikir walau dia tidak memandang mata dan wajahmu.

· Lelaki juga adakalanya tidak suka berada dlm suasana perbincangan terlalu serius di rumah yang dianggapnya tempat merasa rehat dan bertenang. Tidak mahu ia menjadi seperti pejabat. Dia akan mendengar cuma tidak mahu dianggap seperti meeting rasmi di pejabat.

RUNGUTAN 4

ISTERI : Dia langsung tidak lagi sedar penampilanku, adakah melampau untuk aku harapkan penghargaan sekali sekala terutama di hari istimewa.

SUAMI : Berapa banyak kali penghargaan yang diperlukan, setiap hari 5 kali kah? Mengapa dia tersangat emosi dalam hal ini.?

YANG SEPATUTNYA

LELAKI FAHAM

· Wanita tidak seperti lelaki yang cukup dengan hanya sekali pujian, khususnya berkaitan penampilan dirinya. Lebih kerap mereka dipuji, lebih terasa mereka berharga di mata suami.

· Sentiasa ringankan mulut memuji. Adalah difahami salah satu tabiat lelaki bosan mengulangi pujian kepada perkara yang telah diperolehinya (namun sebelum memperolehinya, dia memang pemurah dengan puji-pujian).

· Justeru bagi mengelakkan kebosanan menjengah, pelbagaikan cara, sama ada pujian & penghargaan melalui tulisan, rakaman, sentuhan dan hadiah.

· Isteri memang emosi bab ini, kerana sifat wanita akan merasa terancam dan bimbang apabila si suami sering didedahkan dengan wanita di luar rumah dan di TV yang dirasakan melebihi penampilan dirinya. Justeru, penghargaan lelaki adalah perlu baginya untuk meningkatkan keyakinan diri mereka.

WANITA FAHAM

· Suami biasanya memang kerap memuji isteri tetapi pujiannya kerap di dalam hati tanpa suara dan lafaz. Namun jangan dianggap tiada lafaz itu bermakna tiada penghargaan.

· Tanda penghargaan suami adalah tungkus lumusnya bekerja mencari nafqah dan menyediakan keperluan zahir dan batin isteri.

· Sebahagian dari tabiat suami adalah menganggap nafqah pujian, penghargaan sebagai sampingan. Fahami sikap mereka itu nescaya stress boleh dikurangkan.

· Jangan bimbang, tidak semua suami melihat penampilan dan tubuh sebagai aset penting isteri. Justeru, jika merasakan diri 'kurang perform' di bahagian itu, tingkatkan prestasi di bidang lain yang boleh dihargai oleh suami.

PENUTUP

Demikian serba ringkas, saya tidaklah berani untuk mengatakan semua wanita dan lelaki berciri sebegitu, namun saya kira sebahagian besar sifat dan tabi'at suami dan isteri adalah seperti yang saya tuliskan di atas. Semoga bermanfaat dan digalakkan bagi sesiapa yang punyai idea tersendiri untuk mengoretkan cadangan bernas anda di ruangan komenta
Bohong yg di ketahui Allah
Sebuah hadis yang sangat memberi kesan kepada jiwa, sejak dahulu lagi, amat baik untuk mengingatinya dan dikongsi bersama keluarga, rakan dan taulan. Iaitu :-

إن أول الناس يقضى يوم القيامة عليه رجل استشهد, فأُتي به فعرفه نعمه فعرفها, قال: فما عمِلتَ فيها؟ قال: قاتلت فيك حتى استشهدت, قال: كذبت, ولكنك قاتلت لأن يقال: جريء, فقد قيل, ثم أمر به فسحب على وجهه حتى ألقي في النار. ورجل تعلم العلم وعلّمه, وقرأ القرآن, فأتي به فعرفه نعمه فعرفها, قال: فما عملت فيها؟ قال: تعلمت العلم وعلّمته, وقرأت فيك القرآن, قال: كذبت, ولكنك تعلمت العلم ليقال: عالم, وقرأت القرآن ليقال: هو قارئ, فقد قيل, ثم أمر به فسحب على وجهه حتى ألقي في النار. ورجل وسّع الله عليه, وأعطاه من أصناف المال كله, فأتي به فعرفه نعمه فعرفها, قال: فما عملت فيها؟ قال: ما تركت من سبيل تحبّ أن ينفق فيها إلا أنفقت فيها لك, قال: كذبت, ولكنك فعلت ليقال: هو جواد, فقد قيل, ثم أمر به فسحب على وجهه, ثم ألقي في النار

Maksudnya (ringkasan terjemahan) :

Antara yang terawal diadili di hari qiyamat kelak adalah mereka yang mati syahid. Kemudian ditanya kepada mereka : Apakah yang kamu telah perbuat (amalan di dunia dahulu)?

Jawabnya : Aku telah berjuang untukMu (wahai Allah) sehingga mati syahid

Dibalas : Kamu berbohong, tetapi kamu berjuang untuk digelar "SANG BERANI"

maka dikatakan, telah ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia ke dalam neraka.

Ditanyakan kepada (orang kedua) : Apakah yang kamu telah perbuat (amalan di dunia dahulu)?

Jawabnya : "Aku mempelajari ilmu, mengajarkannya dan membacakan keranaMu Al-Quran"

Dijawab semula : Kamu berbohong, kamu mempelajari ilmu agar kamu boleh digelar ‘ALIM, kamu membaca Al-Quran agar digelar "QARI"

maka dikatakan, telah ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia ke dalam neraka.

Ditanyakan kepada (orang ketiga) : Apakah yang kamu telah perbuat (amalan di dunia dahulu)?

Jawabnya : "Tidak aku sesuatu yang engkau sukai untukku dermakannya kecuali telah aku dermakannya keranaMu"

Dijawab semula : "Kamu berbohong kamu mendermakannya agar kamu digelar "DERWAMAN"

maka dikatakan kepada Malaikat, lalu telah ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia ke dalam neraka ( Riwayat Muslim, no 3527, Kitab al-Imarah)

Semoga kita semua dijauhkan kita semua dari racun hati oleh si musuh Allah yang sentiasa bekerja keras untuk istiqamah atas landasan ikhlas yang sebenarnya. Bagi sesiapa yang telah berjaya ikhlas, tiba-tiba dipuja dan puji oleh manusia atas sumbangan dan kebaikannya, segala itu tidak memberikan kesan kepada kecintaan dan niatnya yang ikhlas kepada Allah. Mereka itulah yang disebut dalam hadis:-

أرأيت الرجل يعمل العمل من الخير، ويحمده الناس عليه؟ قال: "تلك عاجل بشرى المؤمن

Ertinya : Ditanya kepada Nabi s.a.w berkenaan seorang yang berbuat amal kebaikan, tiba-tiba manusia memujinya?. Jawab baginda : Itulah ganjaran gembira yang didahulukan buat para mukmin" ( Riwayat Muslim)

Ibn Qayyim pernah berkata berkata : "Amal tanpa keikhlasan seperti musafir yang mengisi kantong dengan kerikil pasir. Memberatkannya tapi tidak bermanfaat."

Benarlah, bahawa ikhlas bagi adalah satu ujian yang lebih malah sangat sukar bagi seorang pendakwah dan mukmin. Pelbagai medium yang diceburi pendakwah termasuklah seni, drama, nasyid dan lain-lain lagi. Namun semua akan menghadapi cabaran besar ikhlas, ia sebuah cabaran yang sangat sukar...

Sekian
Oleh: Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
Disiarkan pada Oct 18, 2009

sedekah pahala


Sedekah pahala yg terus mengalir

Dari Abu Hurairah RA, bahwa sesungguhnya Rasulullah SAW, telah bersabda : ”Bila seorang hamba telah meninggal, segala amalnya terputus, kecuali tiga hal : amal jariyah, ilmu yang bermanfaat atau anak shalih yang mendo’akannya” (HR. Bukhari, dalam Adabul Mufrad).

Berikut contoh konkrit, sadaqah (amal) jariah, yang pahalanya terus mengalir walaupun si pemberi sadaqah telah wafat :

SADAQAH JARIAH – KEBAIKAN YANG TAK BERAKHIR

AL SADAQAT AL JARIYAH – THE ACTIONS WHICH OUTLIVES YOU !

1. Berikan Al-Quran pada seseorang, setiap saat Al-Quran tersebut dibaca, anda mendapatkan kebaikan. (Give Quran to someone and each time they read from it, you will gain hasanaat.)
2. Ajarkan seseorang sebuah do'a. Pada setiap bacaan do'a itu, anda mendapatkan kebaikan. (Teach someone to recite a dua. With each recitation, you will gain hasanaat.)
3. Sumbangkan kerusi roda ke Hospital dan setiap orang sakit menggunakannya, anda mendapatkan kebaikan. ( Donate a wheel chair to a hospital and each time a sick person uses it, you will gain hasanaat.)
4. Tanam sebuah pohon. Setiap seseorang atau haiwan berlindung dibawahnya atau makan buahnya, anda dapat kebaikan. ( Plant a tree. Each time any person or an animal sits under its shade or eats from the tree, you will gain hasanaat.)
5. Tempatkan pendingin air di tempat awam. (Place a water cooler in a public place.)
6. Edarkan bacaan yang membangun dengan seseorang. (Share constructive reading material with someone.)
7. Libatkan diri dalam pembangunan masjid. (Participate in the building of a mosque.)
8. Edarkan CD Quran atau Do'a. (Share a dua or Quran CD.)
9. Bantulah pendidikan seorang anak. (Help in educating a child.)
10. Edarkan pengetahuan ini dengan orang lain. Jika seseorang menjalankan salah satu dari hal diatas, Anda dapat kebaikan sampai hari Qiamat. (Share this with someone. If one person applies any of the above you will receive your hasanaat until the Day of Judgment.)

Jadilah “sejuta artikel” dengan meneruskan artikel ini kepada saudara-saudara kita sesama muslim yang barangkali belum mengetahuinya, sehingga kita tidak dilaknat Allah dan seluruh mahluk kerana tidak menyampaikan (menyembunyikan) apa yang telah kita ketahui, sebagaimana dinyatakan dalam Al-Quran surah Al-Baqarah Ayat 159 :

”Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayat, sesudah Kami terangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk”.

Dari Abdullah bin 'Amru ra, RasulAllah S.A.W bersabda: "Sampaikanlah pesanku walaupun hanya satu ayat”.